Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan dirinya dengan isu meminta wang serta salah guna kuasa.
Beliau menegaskan bahawa tuduhan berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan merupakan fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta integriti beliau.
Iruan turut memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan di Balai Polis Nilai dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, beliau juga akan mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan lanjut serta memperincikan keadaan sebenar berhubung isu yang tular tersebut.
Baca juga:
- JAKIM nafi iktiraf sijil nikah Rohingya, dokumen bukan keluaran pihak berkuasa agama
- Anwar beri amaran, rakyat Israel dikesan di Malaysia akan diusir jika dakwaan benar
- Ahmad Badri dilantik Pengerusi FELDA baharu, ganti Ahmad Shabery Cheek
Terdahulu, tular di media sosial satu video seorang jurulatih tinju yang mendakwa telah dipaksa melakukan pemindahan wang setiap bulan kepada individu tertentu dalam Persatuan Tinju Malaysia sepanjang tempoh 10 bulan.
Dalam video berkenaan, individu terbabit turut memaparkan beberapa transaksi ke akaun tertentu.
Jurulatih itu juga mendakwa beliau tidak dibenarkan pulang ke Thailand sekiranya gagal memenuhi tuntutan berkenaan.
Sumber: Harian Metro, Thread Tun Afzan Andrha








