Warga emas ditahan pandu lawan arus di Lebuhraya DASH | The Reporter

Warga emas ditahan pandu lawan arus di Lebuhraya DASH

Kereta dipandu melawan arus di Lebuhraya DASH Petaling Jaya oleh seorang wanita warga emas
Tangkap layar video tular merakamkan insiden berkenaan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis menahan seorang wanita warga emas selepas tular video memandu melawan arus di Lebuhraya DASH, Petaling Jaya pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin bin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 18 Mei 2026 kira-kira jam 9.30 malam ketika suspek dipercayai tersesat jalan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. Wanita yang berusia dalam lingkungan 80-an itu kemudian didakwa memandu melawan arus bagi mencari laluan keluar dari lebuh raya berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan atau perlanggaran dilaporkan melibatkan kenderaan suspek dengan pengguna jalan raya lain atau objek di lokasi kejadian.

Suspek telah berjaya ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shamsuddin dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, selain menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan.

Baca juga:

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jayseelan di talian 018-258 2531 atau IPD Petaling Jaya di 03-7966 2222.

Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang warga emas memandu secara lawan arus di lebuh raya DASH, sekali gus mencetuskan situasi cemas kepada pengguna jalan raya lain.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di laluan sebelah kanan lebuh raya berkenaan, sebelum tindakan warga emas itu disedari oleh beberapa pemandu lain yang berada di lokasi kejadian.

Related Posts