Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung hak keahlian empat lagi pemimpin parti berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa melanggar Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Memetik laporan Sinar Harian, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti itu.
Menurut notis berkenaan, kedua-dua pemimpin terbabit dikenakan tindakan di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Selain pemecatan itu, empat lagi pemimpin Bersatu digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti. Mereka ialah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.
Baca juga:
- Dua ADUN dipecat, empat pemimpin Bersatu digantung keahlian
- ‘Rakyat nilai siapa yang bekerja’ – Mohamad Sabu
- Wan Rosdy bidas kenyataan Lim Guan Eng
Notis itu turut memaklumkan tindakan penggantungan berkenaan menyebabkan kesemua mereka dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti selain tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, semua individu yang dikenakan tindakan disiplin itu diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.









