'Langkawi tidak lesu' - Exco Kedah sanggah dakwaan Teresa Kok | The Reporter

‘Langkawi tidak lesu’ – Exco Kedah sanggah dakwaan Teresa Kok

xco Kedah jelaskan statistik LADA menunjukkan peningkatan pelancong ke Langkawi
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan Negeri Kedah menafikan dakwaan bahawa sektor pelancongan di Langkawi sedang merosot, sebaliknya menegaskan jumlah pelancong ke pulau peranginan itu terus mencatatkan peningkatan setiap tahun berdasarkan data rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, kenyataan yang mendakwa Langkawi mengalami kemerosotan pelancong adalah tidak tepat dan tidak berasaskan fakta semasa.

Beliau turut menyarankan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok supaya menyemak statistik rasmi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan terbuka, khususnya melibatkan sektor pelancongan negeri.

Menurut beliau, data Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menunjukkan tiada penurunan jumlah pelancong sejak 2022, sebaliknya berlaku peningkatan berterusan.

Data pelancong meningkat

Berdasarkan angka yang dikongsikan, jumlah pelancong ke Langkawi pada tahun 2021 adalah 1,093,937 orang, meningkat kepada 2,581,605 orang pada 2022, seterusnya 2,810,322 orang (2023), 2,904,629 orang (2024), dan mencecah 3,215,730 orang pada tahun 2025.

Beliau menegaskan semua data tersebut dikeluarkan oleh LADA, sebuah agensi Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan promosi pelancongan Langkawi.

“Jelas, setiap tahun jumlah pelancong meningkat. Tidak timbul isu Langkawi lesu seperti yang digambarkan,” katanya.

Baca juga:
Data DOSM

Dalam masa sama, beliau turut memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan Kedah berada di tangga kelima tertinggi destinasi pelancongan negara pada 2024 dengan 6.9 juta pelancong.

Katanya, angka itu membuktikan Kedah kekal sebagai antara negeri tumpuan utama pelancong domestik dan antarabangsa.

“Bagi tahun 2025, kita masih menunggu angka rasmi DOSM. Namun secara tidak rasmi, kita menjangkakan jumlah pelancong ke Kedah terus meningkat melebihi 7 juta orang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Teresa agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Langkawi tidak lesu. Langkawi terus berkembang. Kedah terus menerima kehadiran pelancong yang meningkat dari tahun ke tahun. Itu fakta, dan itu juga kenyataan,” jelasnya.

Related Posts