Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Gitaris kumpulan Spring, Mohd Adzhar Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Zaha Spring, tampil memberikan pandangan berhubung kenyataan penyanyi Aming mengenai realiti dunia hiburan tanah air.
Menurut Zaha, beliau bersetuju dengan kenyataan Ameng bahawa gelaran juara dalam pertandingan bukan jaminan untuk seseorang artis kekal relevan dalam industri. Katanya, perjalanan seni kumpulan Spring sendiri membuktikan bahawa populariti tidak hanya bergantung kepada kemenangan semata-mata.
“Dalam tempoh 12 tahun sejak era 90-an, Spring tidak pernah terlepas mencalonkan lagu ke Anugerah Juara Lagu (AJL). Namun, kebanyakan lagu kami hanya terkandas di peringkat separuh akhir,” jelasnya.
Antara lagu yang pernah melalui pengalaman tersebut termasuk Sejiwa, Borgenvila, Butakah Cinta, Kami Ditakdirkan, Kerana Budi dan beberapa lagi. Hanya lagu Sampai Hati dan Romantis berjaya mara ke peringkat akhir AJL, manakala Borgenvila pula pernah ke final Pujaan Nescafe, namun tidak meraih kemenangan.
Tambah Zaha, meskipun tidak berjaya membawa pulang trofi, mereka tetap berpegang kepada prinsip bahawa sokongan peminat adalah perkara paling utama dalam kerjaya seni.
“Kami fikir biar kalah di hati juri, tapi menang di hati peminat. Sebab yang menyokong dan sanggup berbelanja untuk artis adalah peminat,” katanya lagi.
Baca juga:
- Isu gelaran juara, Zaha Spring pertahan kenyataan Ameng
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
- Ameng nafi dakwaan tuju istilah ‘juara tak ke mana’ pada individu
Sikap peribadi Ameng
Dalam masa sama, Zaha turut menyentuh mengenai sikap Ameng yang disifatkan sebagai seorang yang sentiasa ceria sepanjang mereka berkawan. Namun kali ini, katanya, Ameng dilihat lebih serius dalam mempertahankan pendiriannya.
Beliau turut memberi peringatan secara terbuka kepada individu yang terlibat agar menyelesaikan isu berkenaan secara matang selepas didakwa mencetuskan provokasi.
“Kalau dah jolok sarang tebuan, memanglah kena sengat,” ujarnya secara sinis.
Kontroversi industri hiburan
Mengulas lanjut, Zaha menegaskan bahawa kemunculan kontroversi dalam industri muzik bukan sesuatu yang luar biasa. Malah, menurutnya, situasi tersebut menjadi tanda bahawa seseorang artis itu masih aktif dan relevan.
“Kalau tiada cerita sensasi, industri jadi sejuk. Tambah orang kita pula jenis suka berita-berita panas.
Terdahulu, menerusi siaran langsung di TikTok, Ameng memberikan pandangannya terhadap kemenangan dalam pertandingan nyanyian serta isu populariti dalam industri hiburan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa nasihat yang diberikan kepada anaknya Azeva Natassha yang menyertai satu pertandingan realiti di sebuah stesen televisyen disalah erti oleh seorang individu yang bergelar penyanyi.









