Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular satu video papan pemuka menyaksikan sebuah kereta terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung dalam satu kejadian di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands, pada Khamis malam.
Insiden tragis itu mengorbankan seorang lelaki manakala isterinya serta empat anak mereka cedera selepas kenderaan jenis Perodua Aruz yang dinaiki enam sekeluarga terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter sebelum masuk ke kawasan sungai cetek.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kenderaan tersebut dalam keadaan terbalik di dalam sungai.
“Pemandu berusia 44 tahun didapati tersepit di tempat duduk dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum dibawa naik ke atas,” katanya.
Baca juga:
- Siti Mastura gagal rayuan kes fitnah pemimpin DAP
- Lelaki maut, lima ahli keluarga cedera kereta terjunam gaung
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Lima ahli keluarga lain yang cedera terdiri daripada seorang wanita berusia 48 tahun, dua remaja perempuan berusia 19 dan 17 tahun serta dua kanak-kanak berusia sembilan dan enam tahun. Kesemua mereka telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum menerima rawatan lanjut daripada KKM.
Sumber: Sinar Harian, Thread ruhaizak









