Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta | The Reporter

Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta

Kanak-kanak lelaki 7 tahun mengalami kecederaan saraf kaki akibat kemalangan jalan raya.
Tangkap layar video dari Thread kakak mangsa merakamkan mangsa sedang menahan kesakitan.

Seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan serius selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jerantut, Pahang pada 23 Mac lalu, hingga menyebabkan saraf kaki kanannya rosak sebanyak 50 peratus.

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa, Muhammad Daiyyan Syahid Roslan,7, dilaporkan cedera dari bahagian lutut hingga ke jari kaki dan telah menjalani pembedahan.

Walaupun tiada tulang patah, kerosakan saraf yang dialami tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, dengan tempoh pemulihan dianggarkan mengambil masa sehingga dua tahun.

Menurut kakaknya, Nur Ain Natasya Roslan, kejadian berlaku ketika mangsa bermain di kawasan rumah nenek mereka pada hari ketiga Aidilfitri sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu laju.

Difahamkan, kenderaan itu dipandu oleh seorang anggota polis yang tidak berpakaian seragam ketika kejadian. Namun, setakat ini hanya seorang daripada individu dalam kereta tersebut tampil memohon maaf.

Baca juga:

Keluarga mangsa kini sedang mendapatkan khidmat peguam dan dalam proses mengumpul bukti bagi tindakan lanjut terhadap kes berkenaan.

Hantaran di Thread oleh kakak mangsa

Sebelum ini, kakak mangsa dalam hantaran di Thread memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan adik mereka, M. Daiyyan Syahid, yang terlibat dalam kemalangan selepas dilanggar sebuah kenderaan dipercayai dipandu anggota polis narkotik di hadapan rumah mereka, berhampiran rumah nenek di sebuah jalan kecil yang hanya muat satu kenderaan.

Kejadian tersebut disaksikan oleh beberapa individu yang mendakwa kenderaan berkenaan dipandu laju. Mangsa mengalami kecederaan parah dengan luka yang dalam, selain 50 peratus saraf pada kakinya tidak dapat diselamatkan.

Menurut doktor, mangsa berkemungkinan mengalami kecacatan kekal dan tempoh pemulihan dijangka mengambil masa sehingga dua tahun. Sehubungan itu, keluarga berharap orang ramai dapat mendoakan agar kesakitan yang dialami mangsa diringankan serta dikurniakan kesembuhan.

Related Posts