JAWI diarah siasat penggunaan terjemahan ayat al-Quran promosi budaya songsang | The Reporter

JAWI diarah siasat penggunaan terjemahan ayat al-Quran promosi budaya songsang

Menteri Agama arahkan JAWI menyiasat penggunaan ayat al-Quran dalam perhimpunan promosi budaya songsang.
Gambar: Facebook Dr Zulkifli Hassan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan sepanduk menggunakan terjemahan ayat al-Quran secara salah bagi mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan bahawa perbuatan tersebut bukan sahaja mengguris maruah umat Islam, malah mencemarkan kemuliaan al-Quran kerana ditafsir jauh dari konteks serta makna sebenar ayat tersebut.

“Saya menegaskan sekeras-kerasnya bahawa perbuatan ini bukan sahaja mengguris maruah umat Islam apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini, malah mencemar kemuliaan Al-Quran kerana ditafsir jauh dari konteks serta makna sebenar ayat tersebut,” katanya.

Menurutnya, ayat al-Quran perlu difahami melalui tradisi keilmuan Islam yang panjang dan tidak boleh diterjemah atau ditafsir secara sewenang-wenangnya mengikut kehendak sendiri sehingga menyimpang daripada maksud sebenar.

Baca juga:

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghormati kesucian al-Quran dan tidak menjadikannya sebagai dalil bagi menyokong amalan atau budaya yang bertentangan dengan nilai serta ajaran Islam.

“Saya menyeru semua pihak agar menghayati Al-Quran dengan tradisi keilmuan yang panjang dan tidak sewenang-wenangnya menterjemah mengikut nafsu sehingga menyesatkan dari maksud sebenar apatah lagi untuk menjadikan dalil budaya yang bertentangan dengan nilai Islam,” jelasnya.

Sebelum ini, pendakwah Ustazah Asma’ Harun turut menyuarakan kebimbangan terhadap perarakan berkenaan yang disifatkan seolah-olah cuba menormalisasikan sesuatu yang jelas bertentangan dengan fitrah manusia dan syariat Islam.

Related Posts