Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke kawasan konflik Timur Tengah | The Reporter

Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke kawasan konflik Timur Tengah

Kementerian Luar Negeri keluarkan nasihat perjalanan dan usaha evakuasi rakyat Malaysia dari kawasan konflik Timur Tengah.
Gambar: sundayguardian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kementerian Luar Negeri memandang serius peningkatan ketegangan konflik yang semakin memuncak di beberapa kawasan di Timur Tengah dan mengeluarkan nasihat perjalanan terkini kepada rakyat Malaysia.

Menurut kementerian itu, keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan sebarang perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh konflik berkenaan.

Nasihat perjalanan tersebut turut melibatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk menunaikan ibadah umrah atau melakukan ziarah ke kawasan berkenaan. Kementerian turut memohon kerjasama semua pihak termasuk agensi pelancongan agar mengambil maklum dan mematuhi nasihat tersebut.

Dalam pada itu, kementerian memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara, kerajaan negara berkaitan serta syarikat penerbangan bagi mengatur usaha evakuasi rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara.

“Usaha evakuasi berkenaan turut melibatkan rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air dan akan diselaraskan berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang telah berdaftar,” katanya.

Baca juga:
Kemaskini maklumat

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada di negara-negara terjejas digesa segera mendaftar dan mengemaskini maklumat perhubungan dengan Kedutaan Besar Malaysia atau perwakilan Malaysia yang terdekat, atau melalui sistem e-Konsular di laman sesawang Kementerian Luar Negeri bagi memudahkan proses penyelarasan evakuasi.

“Rakyat Malaysia digesa untuk segera mendaftar dan mengemaskini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia yang terdekat, atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, perwakilan diplomatik Malaysia di negara yang terlibat dilaporkan telah menghubungi rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mendapatkan maklumat bagi tujuan perancangan kontingensi.

Rakyat Malaysia yang masih berada di kawasan terjejas juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Kementerian menegaskan pihaknya akan memastikan usaha evakuasi dilaksanakan sebaik mungkin dengan kerjasama semua pihak berkaitan bagi menjamin keselamatan serta kepentingan rakyat Malaysia.

Related Posts