Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan salah guna kedudukan.
Memetik laporan Harian Metro, Hanafiah ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kemaman.
Hanafiah didakwa menggunakan jawatannya sebagai Exco dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak-anaknya, Mohd Najmi Hanafiah pada 15 Ogos 2020, dan Ahmad Kamil Hanafiah pada 18 Jun 2020.
Kedua-dua kesalahan didakwa berlaku di Pejabat EPIC Berhad, Teluk Kalong, Kemaman.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Terdahulu, Pemuda Amanah Terengganu menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai dakwaan tersebut. Dalam kenyataan di media sosial, Pemuda Amanah menegaskan bahawa jika dakwaan itu benar, ia adalah serius kerana melibatkan integriti dan amanah dalam pentadbiran negeri, terutama berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya diurus secara telus dan profesional.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan di media sosial, Hanafiah menegaskan bahawa beliau dan pasukannya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penyiasat sejak peringkat awal. Beliau berkata semua dokumen yang diperlukan telah diserahkan dan keterangan telah diberikan.
“Sepanjang tempoh siasatan ini, saya sentiasa bersikap terbuka dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Saya berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah,” katanya.








