Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri Terengganu susulan penahanan seorang EXCO negeri yang disyaki menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan keluarga.
Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Muhammad Farid bin Mohd Mumazaini, berkata sekiranya dakwaan itu benar, ia adalah serius kerana melibatkan integriti dan amanah dalam pentadbiran negeri, terutama apabila berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya diurus secara telus dan profesional.
Beliau turut mengingatkan bahawa kes ini berlaku selepas penahanan anak Menteri Besar PAS Perlis yang disiasat berhubung tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM600,000, sekali gus menimbulkan persoalan.
“Lebih mengejutkan dan memalukan, perkembangan ini berlaku sejurus selepas negara dikejutkan dengan penahanan anak kepada Menteri Besar PAS Perlis oleh SPRM, yang disiasat berkaitan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM600,000. Kini episod yang sama seolah-olah berulang di Terengganu.
“Persoalannya, di manakah integriti yang selama ini dilaungkan PAS? Bersihkah PAS seperti yang sering didakwa, atau slogan “Prihatin, bersih dan stabil” itu hanyalah topeng politik yang runtuh apabila berdepan dengan realiti kuasa?” katanya.
Terdahulu, media melaporkan SPRM Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri itu kerana dipercayai menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat GLC di negeri itu.
Baca juga:
- Ketua DHPP Wilayah persoal tiada wakil India dalam Ahli Penasihat DBKL 2026
- ‘Tindakan undang-undang paling setimpal akan diambil’- Bapa Hayl Haarith
- Dr Maza bimbang pengaruh ideologi ekstrem boleh cetus ketegangan agama
Dalam pada itu, Muhammad Farid menegaskan bahawa siasatan perlu dijalankan secara bebas dan tanpa campur tangan politik. Kerajaan negeri Terengganu juga digesa menjelaskan pendirian rasmi mereka, termasuk sama ada EXCO berkenaan akan digantung tugas sementara siasatan dijalankan, serta kemungkinan audit dalaman terhadap semua lantikan dalam GLC negeri.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri Terengganu perlu menjelaskan pendirian rasmi mereka. Adakah EXCO berkenaan akan digantung tugas sementara siasatan berjalan? Adakah audit dalaman akan dibuat terhadap semua lantikan dalam GLC negeri bagi memastikan tiada unsur kronisme dan nepotisme?
“Kepimpinan yang menggunakan kuasa untuk kepentingan keluarga menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan. PAS tidak boleh terus bercakap soal moral dan integriti jika gagal menunjukkan teladan kepimpinan yang bertanggungjawab,” kata beliau.








