Rafizi, 7 MP PKR desak kerajaan gantung tugas Azam Baki | The Reporter

Rafizi, 7 MP PKR desak kerajaan gantung tugas Azam Baki

Ahli Parlimen Rafizi Ramli bersama tujuh MP PKR menuntut penggantungan KP SPRM Azam Baki dan siasatan bebas
Gambar: Facebook Rafizi Ramli

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Lapan Ahli Parlimen diketuai bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menggesa supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki digantung serta-merta bagi membolehkan satu siasatan bebas dan telus dijalankan susulan dakwaan serius yang dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg.

Menurut kenyataan bersama itu, pendedahan yang mengaitkan unsur salah guna kuasa dan penyelewengan dalam agensi penguatkuasaan mengingatkan rakyat kepada episod hitam skandal 1MDB.

Mereka mendakwa beberapa kes yang dilaporkan termasuk siasatan terhadap individu bernama Victor Chin melibatkan dakwaan pengubahan wang haram lebih RM500 juta, campur tangan dalam kes senjata api, serta dakwaan persekongkolan antara pegawai penguat kuasa dan ahli perniagaan.

Kenyataan itu turut memetik dakwaan bahawa kes berprofil tinggi melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak berakhir dengan pendakwaan. Selain itu, nama syarikat MMAG Holdings Berhad dan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador, turut disebut dalam laporan berkenaan.

“Paling membimbangkan, seorang ahli perniagaan yang didedahkan oleh Bloomberg dituduh terlibat dalam kegiatan mencuci wang haram dari hasil jenayah kongsi gelap menggunakan sebuah syarikat bernama MMAG Holdings Berhad. Seperti yang pernah didedahkan sebelum ini, MMAG Holdings Berhad pernah dikuasai oleh Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Tidak ulangi kesilapan lalu

Rafizi menasihatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar tidak mengulangi kesilapan pentadbiran lalu yang didakwa cuba menutup skandal besar. Beliau juga memaklumkan bersedia berdepan sebarang tindakan susulan termasuk kemungkinan siasatan terhadap dirinya, sambil menegaskan bahawa ‘rakyat adalah hakim negara’.

“Sekiranya Tan Sri Azam Baki atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim berpandangan taktik-taktik mengelak, intimidasi dan menutup perkara ini akan berjaya memperlahankan usaha kami menuntut agar dakwaan-dakwaan terhadap SPRM disiasat segara, kami mahu memaklumkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kami menyuarakan tuntutan-tuntutan ini bagi pihak rakyat,” ujarnya.

Bagi memastikan dakwaan tersebut tidak ditutup tanpa siasatan menyeluruh, kumpulan Ahli Parlimen itu mengumumkan beberapa tindakan termasuk menulis kepada semua Ahli Parlimen merentas parti bagi mendapatkan sokongan menggantung Azam Baki, menggesa sesi penerangan di kawasan masing-masing, mendesak pimpinan parti kerajaan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, mencadangkan perhimpunan aman melalui BERSIH, serta membuat laporan polis berhubung dakwaan campur tangan dalam kes senjata api.

Related Posts