Isu penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim yang tercetus susulan kenyataan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusoff, terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Kenyataan Siti Zailah yang mempersoalkan keikhlasan Nga susulan penggunaan istilah seperti “Alhamdulillah” dan “sujud syukur” di Parlimen sebelum ini mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuk pandangan daripada tokoh agama.
Dalam konteks perbincangan itu, rakaman ceramah pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, turut dirujuk apabila beliau membincangkan persoalan berkaitan penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim. Dalam rakaman berkenaan, beliau menjawab soalan hadirin mengenai isu tersebut dalam konteks umum.
Baca juga:
- Ketua UMNO Beruas nafi dakwaan tampar cucu Nik Aziz
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
Ustaz Azhar menjelaskan bahawa, bukan Muslim tidak dilarang menyebut kalimah berkaitan Islam selagi ia tidak digunakan dengan niat menghina, mempermainkan atau merendahkan agama. Perkara paling utama dalam isu tersebut ialah niat dan adab ketika menggunakan kalimah berkenaan.
“Kalau sebut bukan untuk menghina atau mempermainkan Islam, maka tidak ada masalah. Kalau tujuan dia untuk persenda Islam, itu wajib ditegah,” katanya.
Fokus pada niat dan konteks
Sementara itu, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, turut berpandangan bahawa bukan Muslim boleh menyebut kalimah seperti “Alhamdulillah” selagi ia dilakukan dalam konteks yang sesuai dan bukan untuk bermain-main.
“Kalau sebut tanpa mempermainkan, pada tempat yang betul, kita tidak bantah,” katanya.
Beliau menjelaskan, dalam bahasa Arab, “Alhamdulillah” membawa maksud bersyukur kepada Allah, manakala istilah “Allah” telah lama digunakan bagi merujuk kepada Tuhan Pencipta. Penggunaan lafaz tersebut tidak boleh dinilai secara terpisah tanpa melihat kepada niat dan situasi sebenar.











