Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta penderaan terhadap kanak-kanak.
Menerusi video tular, suspek didapati menendang dan memukul kanak-kanak dengan menggunakan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim bin Muda, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku pada 14 Disember 2025, kira-kira jam 11.55 malam, di sebuah premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu.
Menurut beliau, kejadian itu melibatkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan,” katanya.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, selain menghormati privasi semua pihak yang terlibat agar siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.








