Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam polisi pemakaian seragam kru kabin, apabila syarikat itu kini membenarkan pramugari memakai hijab ketika bertugas sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.
Langkah ini selari dengan budaya ‘people-first’ AirAsia serta usaha berterusan syarikat untuk berkembang selari dengan maklum balas pekerja dan orang ramai. AirAsia menegaskan komitmennya mewujudkan persekitaran kerja yang membuatkan setiap Allstar (kakitangan) berasa yakin, selesa dan bangga mewakili syarikat di mana sahaja mereka bertugas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, perubahan dasar itu mencerminkan pertumbuhan AirAsia sebagai sebuah syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja yang pelbagai, melambangkan kepelbagaian masyarakat dan budaya yang dihubungkan oleh syarikat itu setiap hari.
“Pakaian seragam kami sentiasa menekankan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan. Evolusi ini menambah keyakinan kepada kakitangan untuk mewakili AirAsia dengan cara yang selari dengan kepercayaan mereka,” katanya.
Sebelum ini, kru kabin AirAsia hanya memakai hijab pada laluan tertentu seperti ke Jeddah, sejajar dengan peraturan tempatan. Dengan kemas kini ini, fleksibiliti sama diberikan kepada semua pramugari yang memilih untuk berhijab, sekali gus memastikan keseragaman penampilan di seluruh rangkaian penerbangan tanpa menjejaskan identiti profesional AirAsia.
Dalam pada itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan, berkata langkah itu mencerminkan semangat kepelbagaian yang menjadi identiti AirAsia.
“Allstars kami datang daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan, namun semua bersatu dalam komitmen memberikan perkhidmatan bertaraf dunia. Polisi baharu ini adalah cerminan semangat dinamik itu. Kami akan terus mengumpul maklum balas dan memuktamadkan reka bentuk sebelum pelaksanaan. Sasaran kami adalah untuk memulakannya pada Ramadan 2026,” katanya.
Baca juga:
- Pelajar UM maut kemalangan: Bapa rayu saksi kongsi video kejadian
- Mangsa kebakaran Putra Heights syukur terima rumah, tapi dakwa janji tak ditepati?
- Kru kabin AirAsia kini dibenarkan berhijab
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes, pula menekankan kepentingan mendengar suara pekerja dalam membuat keputusan berkaitan polisi syarikat.
“Kekuatan AirAsia sentiasa terletak pada kepelbagaian dan keterbukaan Allstars kami. Apabila perkara ini dibangkitkan oleh kru kabin, penting untuk kami mendengar. Menghormati pandangan dan kepercayaan berbeza adalah sebahagian daripada budaya kami sejak dulu,” jelasnya.
Pakaian seragam merah ikonik AirAsia akan kekal, dengan tambahan pilihan hijab dan seluar panjang yang direka secara profesional sama seperti yang digunakan kru pada laluan Jeddah bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan keseragaman jenama di seluruh rangkaian penerbangan.









