Shamsul Iskandar didakwa atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829 | The Reporter

Shamsul Iskandar didakwa atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829

Shamsul Iskandar didakwa atas empat pertuduhan rasuah.
Gambar: Harian Metro

Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM176,829 daripada seorang ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.

Beliau didakwa menerima suapan tersebut berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah semasa berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri.

Butiran pertuduhan

Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin termasuk dua pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM140,000, manakala baki rasuah diterima dalam bentuk pembelian perabot dan perkakas rumah, masing-masing berjumlah RM14,580.03 dan RM22,249.

Shamsul Iskandar bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan.

Baca juga:

Mengikut pertuduhan, kesalahan didakwa dilakukan antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024 di beberapa lokasi termasuk tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, serta di Presint 14, Putrajaya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Albert Tei dijangka akan berdepan beberapa pertuduhan yang sama berhubung pemberian rasuah tersebut.

Sumber: Malaysia Kini, Sinar Harian

Related Posts