Shamsul Iskandar buat laporan polis, dakwa wujud konspirasi jahat terhadap Anwar | The Reporter

Shamsul Iskandar buat laporan polis, dakwa wujud konspirasi jahat terhadap Anwar

Shamsul Iskandar buat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei berhubung dakwaan konspirasi fitnah terhadap Perdana Menteri.
Shamsul Iskandar menafikan dakwaan konspirasi fitnah terhadap Anwar Ibrahim dan sedia beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. | Sumber gambar: Harian Metro

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei yang didakwa menyebar fitnah dan mencetuskan konspirasi jahat bagi menjatuhkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu berkata, Albert menuduh kononnya Anwar mengarahkan rakaman dilakukan terhadap beberapa ahli politik Sabah, satu dakwaan yang menurutnya tidak berasas dan berniat jahat.

“Fitnah terancang untuk burukkan imej Perdana Menteri”

Shamsul membuat laporan polis di Gum Gum, Sabah, pada petang Rabu, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berjalan. Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai cubaan terancang menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

“Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memulakan siasatan berhubung kes itu.

Baca juga:

SPRM sebelum ini memaklumkan akan memanggil Shamsul dan Albert untuk memberi keterangan mengenai penerimaan wang melibatkan lesen perlombongan.

Peletakan jawatan Shamsul sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada Selasa dikaitkan dengan beberapa pendedahan, termasuk dakwaan Albert yang mendakwa menyerahkan RM629,000 kepadanya kononnya bagi mendapatkan semula dana yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Selain itu, turut tular di media sosial sepucuk surat bertarikh 6 Mei 2024 yang dikatakan ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri, berhubung projek hospital di Muar yang melibatkan cadangan enam kontraktor.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts