Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, tampil membalas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini menuduh UMNO sudah menjadi “pengkhianat bangsa Melayu”. Dalam hantaran ringkas di Facebook, Akmal mengingatkan bahawa bekas perdana menteri itu sendiri pernah menyebut “Melayu mudah lupa”, namun kali ini mendakwa Tun Dr Mahathir yang terlupa sejarah.
“Kerana Tun terlupa bahawa Tun yang khianati UMNO. Berehatlah Tun,” tulis Akmal.
Baca juga:
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
- ‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang
- ‘Rafizi, Nik Nazmi tergugur keahlian PKR’ – Fuziah Salleh
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menuduh UMNO telah menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya dan mengkhianati perjuangan bangsa Melayu. Dalam kenyataan panjang yang dimuat naik di media sosial, beliau mendakwa UMNO menyokong perjanjian yang kononnya meletakkan Malaysia di bawah pengaruh Amerika Syarikat.
Tun Dr Mahathir turut menuduh UMNO mendahulukan kepentingan peribadi dan “menggadai masa depan negara”, sambil menegaskan parti itu tidak lagi memperjuangkan bangsa, agama dan negara seperti yang diharapkan rakyat.
Sumber: Facebook Akmal Saleh









