Dua lelaki ditahan bantu siasatan letupan mercun di Kulim | The Reporter

Dua lelaki ditahan bantu siasatan letupan mercun di Kulim

Lokasi letupan mercun di Jalan Paya Besar, Kulim.
Gambar: Facebook Penang Kini

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dua lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan mercun di Jalan Paya Besar, Kulim, tengah malam Ahad lalu yang mengakibatkan 22 orang awam cedera.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kedua-dua suspek ditahan secara berasingan di Taman Senangin dan Paya Besar.

Menurut beliau, suspek pertama berusia 34 tahun berasal dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, manakala suspek kedua berusia 23 tahun bekerja sebagai pembantu kedai dan menetap di Jalan Paya Besar, Lunas.

“Hasil siasatan mendapati kedua-duanya merupakan sahabat lama. Semakan mendapati mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau masing-masing, namun ujian air kencing kedua-duanya didapati negatif dadah,” katanya.

Tambah beliau, kejadian dipercayai berlaku ketika mereka melepak bersama beberapa rakan di kawasan berkenaan. Suspek pertama yang berada dalam keadaan mabuk dikatakan membeli mercun jenis kelapa bernilai RM200 sebelum memasukkannya ke dalam silinder di tepi jalan.

“Suspek kedua kemudian menyalakan mercun tersebut tetapi ia tidak meletup di udara, sebaliknya meletup di bawah dan disyaki akibat dipasang secara terbalik oleh suspek pertama,” jelasnya.

Baca juga:

Letupan kuat itu menyebabkan 22 orang cedera termasuk seorang lelaki yang parah di kepala dan retak tengkorak. Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan masih tidak sedarkan diri.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video dan gambar insiden yang berlaku kira-kira jam 12.45 tengah malam ketika orang ramai berkumpul di sepanjang Jalan Paya Besar untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.

Sumber: Harian Metro

Related Posts