Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan cadangan 20 perkara yang dikemukakan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin bukanlah satu tawaran, sebaliknya merupakan satu ancaman.
Menurut beliau, cadangan itu mengandungi syarat agar ia diterima dalam tempoh empat hari, atau sebaliknya genosid akan diteruskan dengan lebih dahsyat.
“Cadangan tersebut disusun oleh Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Ia boleh diterima oleh Israel kerana ia dirangka sendiri oleh pemimpin mereka. Seperti Netanyahu, Trump juga mahu mengambil alih Gaza. Ini bermaksud rakyat Palestin perlu menyerah kalah,” katanya.
Tun Mahathir turut menegaskan bahawa adalah tidak masuk akal untuk Hamas menerima cadangan yang secara terang-terangan menuntut penyerahan tersebut, apatah lagi selepas lebih 60,000 nyawa terkorban akibat serangan udara Israel.
“Cadangan ini menjadikan segala pengorbanan mereka sia-sia, termasuk kehancuran total Gaza. Apa yang dicadangkan Trump dan Netanyahu hanya akan menghapuskan erti perjuangan itu,” tambahnya.
Baca juga:
- Ucapan Steven Sim raih tumpuan, sebut satu persatu nama peserta GSF Malaysia
- Colombia halau Diplomat Israel, tegaskan solidariti bersama Palestin
- Netanyahu puji tentera lautnya hentikan Flotilla bantuan Gaza, biarpun dikecam dunia
Ancaman Trump
Beliau turut mengkritik Trump dengan menyatakan bahawa tokoh politik itu bukanlah pendamai, sebaliknya sering menggunakan ancaman tarif tinggi, sekatan ekonomi serta pelbagai tuntutan untuk memaksa pihak-pihak tertentu menghentikan peperangan.
“Namun, beliau gagal. Konflik antara Ukraine dan Rusia masih berlarutan, pembunuhan berterusan, dan genosid oleh Israel akan tetap diteruskan,” jelasnya lagi.
Tun Mahathir menambah bahawa beliau tidak terkejut sekiranya Hamas menolak cadangan Trump tersebut kerana ia hanya akan menguatkan lagi tindakan genosid Israel dengan sokongan berterusan dari Amerika Syarikat.
Terdahulu, Trump mendedahkan 20 pelan damai Gaza yang merangkumi rangka kerja terperinci untuk menghentikan konflik, termasuk matlamat jangka panjang menamatkan pertempuran serta melaksanakan program menyahradikalisasi. Cadangan itu juga membuka peluang kepada penubuhan sebuah negara Palestin sebagai langkah ke arah penyelesaian berkekalan.