Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pihak pendakwaan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhujah dalam petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf ketika menilai keterangan saksi utama dalam kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dalam petisyen rayuan itu berkata tiada asas undang-undang mahupun bukti yang menunjukkan SPRM menekan saksi, bekas penolong bendahari Bersatu, Rafiq Hakim Razali.
Menurut laporan Harian Metro, beliau menegaskan Mahkamah Rayuan telah tersalah menilai bukti apabila menerima dakwaan bahawa SPRM dan pendakwaan memanipulasi saksi tersebut, sedangkan keterangannya sewaktu pemeriksaan balas jelas konsisten dengan kebenaran.
Wan Shaharuddin turut berhujah mahkamah berkenaan gagal mengambil kira keterangan penting berhubung arahan Syed Saddiq kepada Rafiq sebelum pengeluaran RM1 juta daripada dana Armada pada 6 Mac 2020, yang dianggap menunjukkan niat tidak jujur.
Baca juga:
- Bukan buli, polis dan IKBN Miri sahkan hanya gurauan hari lahir
- Kerajaan nafi hadkan pembelian RON95 sehari sekali
- UUM kongsi kisah pelajar yatim piatu daftar sendirian ke Kampus
Pertikaian sabitan dan hukuman
Dalam petisyen itu, pihak pendakwaan menegaskan Mahkamah Rayuan tidak menilai keseluruhan bukti dengan adil, sebaliknya memilih pendekatan terpilih yang membawa kepada salah laksana keadilan. Malah, katanya, pembelaan Syed Saddiq hanyalah bentuk penafian tanpa asas kukuh.
Pada 25 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim mengetepikan sabitan ke atas Syed Saddiq, sekali gus membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Syed Saddiq sebelum ini berdepan tuduhan bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM1 juta dana Armada, menyalahgunakan harta RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, serta dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing RM50,000.