Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun membidas cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menukarkan nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga.
Menurutnya, jika alasan pertukaran nama adalah untuk menyahkan identiti penjajah Inggeris, ia sepatutnya dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya melibatkan satu kawasan sahaja.
“Saya dimaklumkan ada beberapa NGO diterajui Pertubuhan Pemerkasaan Identiti (IDENTITI) bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mahu menukar nama Port Dickson.
“Bagi saya, kalau nak tukar nama, tukarlah semua sekali. Port Klang tukar, Georgetown pun tukar. Jangan satu-satu, lambat,” katanya.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, nama Port Dickson sudah dikenali sebagai pantai peranginan terkenal sejak sekian lama, termasuk dalam kalangan pelancong luar.
“Kenapa Port Dickson yang jadi sasaran? Sejak saya dilahirkan, pantai itu dikenali sebagai Port Dickson. Malah dunia mengenali kawasan itu sebagai destinasi pelancongan. Jadi, kita kena lebih terbuka,” katanya.
Baca juga:
- ‘Bola-bola juga, ibadat dan tanggungjawab jangan diabaikan’ – Dr Zulkifli
- SPR umum tarikh PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
- Kisah lelaki Johor temui makna kehidupan di Terengganu
Beliau turut memaklumkan, NGO terlibat merancang mengadakan sidang media berhubung isu itu pada 15 September ini.
“Terpulang kepada mereka, saya dimaklumkan mereka nak buat sidang media tapi bagi saya, kalau nak buat (tukar nama), buatlah satu negara. Kalau satu-satu sukar pihak pemetaan nak uruskan,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kritikan segelintir pihak berhubung penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin pada tahun lalu, Aminuddin berkata perkara itu tidak sepatutnya dipanjangkan.
“Tak apalah, kita sudah tukar nama. Jalan Temiang itu pun panjang, nanti kita boleh guna nama Temiang di tempat lain,” jelasnya.
Sumber: Berita Harian








