Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima pemakluman berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti-fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) di dalam negara, khususnya di Bintulu, Sarawak.
MKN dalam kenyataan media menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia telah mengarahkan semua fasiliti LNG yang beroperasi di sekitar Bintulu untuk memperketatkan kawalan keselamatan dengan serta-merta buat sementara waktu.
“Langkah ini adalah bagi membolehkan pihak keselamatan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman tersebut,” kata kenyataan itu.
Baca juga:
- Akmal Saleh berjaya kumpul RM180,000 hasil jual motosikal, ikan
- ‘Kalau kita bagi subsidi, kita mengajar rakyat malas’ – MP Pasir Puteh
- Rafizi arah peguam mulakan proses saman terhadap Ramanan
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kenyataan berkenaan. MKN menegaskan, perkembangan lanjut mengenai situasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, agensi-agensi keselamatan negara dilaporkan kekal bersedia berdepan sebarang kemungkinan serta telah mengambil langkah kawalan bagi memastikan keselamatan fasiliti LNG terus terjamin.








