Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Rang Undang-Undang Urban Renewal Act (URA) kini menjadi tumpuan di Parlimen Malaysia kerana ia membawa cadangan besar untuk mengubah cara pembangunan semula bandar lama dilaksanakan. Tujuan asalnya jelas, kerajaan mahu mempercepatkan usaha menaik taraf bangunan usang, tidak selamat atau ditinggalkan, supaya kawasan bandar lebih moden, selesa dan selamat.
Jika sebelum ini undang-undang menuntut semua pemilik bersetuju sebelum sesuatu bangunan boleh diroboh dan dibina semula, URA cuba memperkenalkan pendekatan baharu dengan konsep persetujuan majoriti.
Mengikut cadangan, jika sesebuah bangunan berusia kurang 30 tahun, sebanyak 80 peratus persetujuan sudah memadai. Untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, cukup dengan 75 peratus, manakala bagi bangunan yang ditinggalkan atau tidak selamat, hanya 51 peratus persetujuan diperlukan. Inilah intipati yang menimbulkan kontroversi.
Baca juga:
- Pendakwah tegur video tular pempengaruh review makanan
- Wanita warga emas maut dipercayai ditetak
- Muhammad Faris Johari dilantik Undang Luak Sungei Ujong baharu
Mengapa ramai membantah?
Penentangan datang daripada pelbagai lapisan masyarakat, daripada NGO, peguam, persatuan penduduk, hinggalah ke beberapa kerajaan negeri. Kebimbangan terbesar ialah hak pemilikan harta rakyat boleh tergugat.
Dalam keadaan di mana undang-undang membenarkan pembangunan diteruskan hanya dengan majoriti tertentu, pemilik yang enggan bersetuju tetap berisiko kehilangan harta mereka. Peguam berhujah hal ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 13 yang menjamin hak terhadap harta.
Peratus ambang persetujuan terlalu rendah
Selain isu perundangan, terdapat juga kritikan bahawa URA lebih berpihak kepada pemaju. Lawyers for Liberty menggelar cadangan ini sebagai “Developer Enrichment Act” kerana dianggap memberi laluan mudah kepada syarikat besar untuk mengaut keuntungan dengan alasan membangunkan semula kawasan.
Sementara itu, Malaysian Bar pula menegaskan ambang persetujuan yang ditetapkan terlalu rendah dan mencadangkan ia dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 85 hingga 90 peratus supaya hak pemilik minoriti tidak dipinggirkan.
Baca juga:
- Disemadikan seperti wira, anjing jalanan Kali selamatkan 30 murid daripada ular berbisa
- Lelaki maut kemalangan, rutin perjalanan 700KM demi keluarga bertukar tragedi
- ‘Lahir di Malaysia, tapi…’- Lelaki luah rasa kecewa fikir masa depan
4 negeri bimbang kerajaan pusat campuri urusan tanah
Kebimbangan lain ialah kesan sosial. Banyak kawasan bandar lama dihuni oleh masyarakat B40, warga emas dan komuniti tradisional. Jika pembangunan semula dijalankan tanpa perlindungan mencukupi, mereka berisiko dipindahkan keluar dan tidak mampu kembali kerana kos sara hidup yang lebih tinggi selepas kawasan itu dimajukan. Identiti komuniti lama juga boleh terhapus apabila mereka diganti dengan pembangunan moden yang tidak lagi mencerminkan sejarah asal.
Tambahan pula, beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menolak URA kerana melihatnya sebagai cubaan kerajaan pusat mencampuri urusan tanah, sedangkan hak tanah adalah kuasa negeri. Bekas pemimpin Pulau Pinang, Prof Ramasamy, turut mengkritik akta ini dengan menyatakan ia membawa pembangunan untuk segelintir pihak kaya dengan mengorbankan kepentingan ramai.
Tangguh dan kaji semula
Secara asasnya, URA lahir daripada niat baik untuk mempercepatkan pembaharuan bandar. Namun, cara pelaksanaannya mencetuskan rasa tidak puas hati kerana terlalu banyak kelompongan dari segi hak undang-undang, perlindungan sosial dan mekanisme semak imbang.
Bagi yang membantah, akta ini seolah-olah membuka pintu kepada pemaju kaya untuk menguasai bandar dengan mengorbankan pemilik kecil dan komuniti asal. Justeru, tekanan terus meningkat agar ia dikaji semula atau ditarik balik sebelum perbahasan penuh disambung semula di Parlimen pada Oktober akan datang.
Sumber: MalaysiaKini, The Star, Malay Mail, Malaysian Bar, Lawyers for Liberty, MalaysiaNow











