Lelaki maut kemalangan, rutin perjalanan 700KM demi keluarga bertukar tragedi | The Reporter

Lelaki maut kemalangan, rutin perjalanan 700KM demi keluarga bertukar tragedi

Pegawai imigresen yang maut kemalangan selepas rutin perjalanan 700km setiap minggu demi anak dan isteri di Sarawak.
Pemergian Azman Mazni dikenang sahabatnya. Gambar: Tangkap layar Facebook S Faizzul Syar.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemergian seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dikenali sebagai Azman Mazni dalam satu kemalangan telah meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan terdekatnya, khususnya S Faizzul Syar yang berkongsi luahan penuh emosi di media sosial.

Menurut S Faizzul Syar, dia menerima khabar duka daripada rakan di Depot Imigresen Sabah serta panggilan serentak dari Bintulu yang memaklumkan kejadian tersebut. Lebih menyayat hati, Allahyarham baru sahaja berhubung dalam kumpulan WhatsApp sekitar jam 8 malam sebelum tragedi berlaku.

Dalam luahannya, S Faizzul turut mengimbau pengorbanan besar Allahyarham sebagai seorang suami, ayah dan anak yang saban minggu sanggup merentasi perjalanan lebih 700 kilometer dari tempat kerja di Depot Imigresen Papar menuju ke Miri atau Sibu. Perjalanan jauh itu bukan sekadar rutin, tetapi demi memenuhi tanggungjawab kepada keluarga tercinta iaitu ibu di Miri serta isteri dan anak di Sibu, walaupun perlu merentasi sempadan Brunei.

Baca juga:
Luah hasrat perpindahan tempat kerja

Dia turut mendedahkan bahawa Allahyarham sering membincangkan isu perpindahan tempat kerja dalam setiap pertemuan dan panggilan. Walaupun usaha telah dilakukan dan mendapat sokongan di peringkat negeri, kelulusan daripada pihak ibu pejabat masih belum diperoleh. Hasrat untuk berpindah bukanlah kerana kehendak peribadi semata-mata, tetapi demi mendekati keluarga yang sentiasa menanti kepulangan.

“Sampai arwah tanya kalau isi pertukaran jabatan mungkin dapat pindah ke Sarawak,” luah S Faizzul.

Dalam nada pilu, beliau turut mengenang hubungan rapat mereka yang telah terjalin sejak zaman persekolahan, kampung, pengajian sehingga ke tempat kerja yang sama. Kali terakhir mereka berhubung, Allahyarham sedang dalam perjalanan pulang untuk bertemu keluarga.

“Dekat dah, sikit lagi nak sampai rumah… itu mungkin last ride dia,” katanya sebak, sambil mengimbau kebaikan Allahyarham yang banyak membantu termasuk ketika isterinya baru bersalin.

S Faizzul turut menzahirkan rasa terima kasih atas segala kebaikan yang telah dicurahkan serta mendoakan agar roh sahabatnya itu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Semoga keluarga arwah tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Related Posts