Isu karikatur: Ahmad Fadhli hantar LOD kepada dua pemimpin politik | The Reporter

Isu karikatur: Ahmad Fadhli hantar LOD kepada dua pemimpin politik

Ahmad Fadhli Shaari menghantar LOD kepada 2 pemimpin
Gambar: Facebook Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini mengesahkan beliau telah memulakan proses tindakan undang-undang terhadap dua individu yang didakwa secara sengaja menyebarkan tohmahan serta tafsiran salah terhadap satu hantaran karikatur yang dimuat naik beliau di media sosial baru-baru ini.

Menurut Ahmad Fadhli, dua individu terbabit terdiri daripada seorang Ahli Parlimen dan seorang pemimpin sayap pemuda sebuah parti politik. Surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) sedang diuruskan untuk dihantar kepada mereka dalam masa terdekat.

“Hari ini, kita mula uruskan LOD untuk dua orang terlebih dahulu. Seorang Ahli Parlimen dan seorang pimpinan sayap pemuda sebuah parti. Mereka ini sengaja menyebarkan tohmahan atas pemahaman yang salah berkait hantaran saya di Facebook,” katanya menerusi satu kenyataan.

Baca juga:

Beliau merujuk kepada pautan hantaran di akaun Facebook peribadinya yang memaparkan karikatur satira politik, yang kemudian tular dan mencetuskan pelbagai reaksi termasuk tuduhan kononnya beliau menghina hubungan diplomatik negara-negara ASEAN.

Namun begitu, Ahmad Fadhli menegaskan bahawa niat sebenar karikatur itu telah disalah tafsir secara sengaja oleh pihak tertentu.

“Nampak isu ini pun sudah semakin reda. Bahan-bahan berkaitan pun sudah banyak dikumpulkan. Jika ada lagi (individu terlibat), kita kumpulkan dahulu. Yang lain akan menyusul. Slow-slow, satu-satu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut akan diambil terhadap individu lain yang turut terbabit dalam penyebaran fitnah berkaitan isu ini.

Terdahulu, hantaran karikatur tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen dan pemerhati politik, dengan sesetengah pihak menganggap ia berunsur sinis terhadap hubungan Malaysia dengan negara jiran. Namun, ada juga yang mempertahankan karya berkenaan sebagai bentuk kebebasan berekspresi dan sindiran politik yang sah.

Related Posts