Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa lantikan politik dalam kerajaan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa selagi ia melibatkan individu yang layak dan berkelayakan.
Menurut beliau, lantikan seperti itu wajar dianggap sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka yang telah lama berjuang bersama parti, termasuk ketika parti berada di luar tampuk kuasa.
“Ini kerana terdapat ramai individu tidak bernama yang kehilangan kerja dan kehabisan wang ringgit secara sukarela demi menyokong perjuangan parti untuk menjadi kerajaan memerintah,” katanya.
Anwar turut berkongsi kisah seorang bekas penjawat awam bernama Pak Kudus di Tanjung Karang yang menyokong beliau sejak awal, walaupun hanya bergantung pada pencen bulanan RM1,800.
“Ada juga pensyarah akademik dan doktor pakar yang hilang kerja kerana menyokong saya sebelum ini dan mereka kehabisan ratusan ribu ringgit tetapi tidak pernah minta balasan, sebaliknya menghabiskan sisa hidup secara sederhana sahaja,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat sudah tiba masanya individu yang terbukti setia dan berkelayakan diberikan peluang menjawat jawatan dalam kerajaan.
“Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak, sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” ujarnya.
Berucap semasa sesi penggulungan Kongres Nasional PKR 2025 minggu lalu, Anwar turut menegaskan PKR ialah parti pelbagai kaum yang memberi peluang saksama kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang.
“Insya-Allah, kita akan bantu ahli-ahli yang telah berjuang demi parti. Kita parti pelbagai kaum yang serius, induknya mungkin majoritinya Melayu dan Bumiputera namun ia juga mewakili semua kaum,” katanya.
Sumber: Berita Harian








