Sultan Perak perkenan 81 belia baca khutbah Jumaat hari ini | The Reporter

Sultan Perak perkenan 81 belia baca khutbah Jumaat hari ini

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, telah memperkenankan seramai 81 orang pemimpin belia di negeri Perak untuk menyampaikan khutbah Jumaat di masjid seluruh daerah.
81 pemimpin belia dipilih untuk menyampaikan khutbah di 81 masjid di seluruh negeri Perak. Gambar: Blog diujungislam

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, telah memperkenankan seramai 81 orang pemimpin belia di negeri ini untuk menyampaikan khutbah Jumaat di masjid seluruh daerah, sempena sambutan Hari Belia Negara yang diraikan pada 15 Mei.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini, berkata bahawa penghormatan ini diberikan sebagai tanda pengiktirafan terhadap peranan penting golongan belia dalam pembangunan negara.

“Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Perak telah mengemukakan 81 nama pemimpin belia kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapat perkenan Sultan Perak bagi menyampaikan khutbah di 81 masjid.

“Khutbah Jumaat di Perak esok (hari ini) bertemakan ‘Belia Berkeyakinan: Memenuhi Wawasan Dunia Akhirat’,” katanya.

Dalam pada itu, menurut laporan Astro Awani, Mohd Annuar menasihatkan agar pentadbir masjid mematuhi titah tersebut, dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya terdapat pihak yang enggan mematuhinya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu pentadbir masjid menghalang khatib yang telah diperkenankan daripada menyampaikan khutbah tidak sepatutnya timbul, memandangkan para belia yang terlibat mempunyai latar belakang agama serta kepakaran dalam bidang masing-masing.

Sumber: Malaysia Gazette, Astro Awani

Related Posts