Coklat viral dari Dubai punca dunia kekurangan pistachio | The Reporter

Coklat viral dari Dubai punca dunia kekurangan pistachio

Coklat berlapis dengan isi krim pistachio dan kepingan kacang pistachio di sekelilingnya.
Coklat ni nampak manis je, tapi dia lah punca satu dunia kehabisan pistachio

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Permintaan terhadap coklat berinti krim pistachio dari Dubai melonjak secara mendadak selepas video TikTok mengenainya tular, sehingga mengakibatkan kekurangan pistachio di seluruh dunia.

Coklat mewah ini pertama kali diperkenalkan pada 2021 oleh pasangan usahawan, Sarah Hamouda dan Yezen Alani menerusi syarikat mereka, Fix Desert Chocolatier. Produk berasaskan krim pistachio, tahini dan knafeh – pencuci mulut tradisional Timur Tengah yang juga dikenali sebagai kunafa – diinspirasikan daripada keinginan Sarah semasa hamil.

Fenomena ini mula tercetus pada 2023 apabila video TikTok pengguna Maria Vehera mencuba coklat tersebut meraih lebih 120 juta tontonan. Sejak itu, permintaan terhadap coklat berkenaan melonjak, sekaligus menekan pasaran pistachio global.

Pedagang kekacang, Giles Hacking dari CG Hacking memberitahu The Financial Times bahawa harga pistachio meningkat ketara daripada $7.65 kepada $10.30 (sekitar RM48) sekilogram dalam tempoh setahun.

“Bekalan memang sudah terhad sejak musim tuaian yang lemah di AS. Bila jenama coklat dari Dubai ini beli secara besar-besaran, negara lain tak sempat nak dapat stok,” katanya.

Menurut laporan Kastam Iran, eksport pistachio ke Emiriah Arab Bersatu meningkat sebanyak 40 peratus dalam tempoh enam bulan sehingga Mac lalu, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ahli Lembaga Iran Pistachio Association, Behrooz Agah pula menjelaskan, pada awal 2023 bekalan pistachio melebihi permintaan sehingga harga jatuh. Namun, kemunculan coklat Dubai yang menjadi tular mengubah keadaan secara drastik.

“Ramai mula hasilkan produk sampingan pistachio seperti mentega, pes dan minyak. Ia membuka pasaran baru, lebih-lebih lagi selepas coklat Dubai jadi rebutan di seluruh dunia,” katanya.

Related Posts