Pejabat Pendidikan Wilayah Gyeonggi, Korea Selatan menubuhkan Pasukan Petugas Perlindungan Hak Guru bagi menangani kes pelanggaran hak pendidik serta melindungi guru daripada aduan berniat jahat. Penubuhan badan itu diumumkan pada 13 Julai selepas Penguasa Pendidikan Gyeonggi, Ahn Min-suk menandatangani pelan operasi pasukan berkenaan.
Memetik laporan SBS News, pasukan khas itu akan beroperasi sebagai badan tindak balas di bawah arahan langsung penguasa pendidikan bagi menyelia kes serius melibatkan pencabulan hak guru serta melaksanakan dasar perlindungan aktiviti pendidikan. Sebelum ini, guru didakwa terpaksa menguruskan sendiri isu seperti aduan palsu, laporan penderaan kanak-kanak tanpa asas dan gangguan daripada pihak tertentu kerana tanggungjawab berkenaan berpecah kepada beberapa jabatan.
Melalui sistem baharu itu, Pejabat Pendidikan Gyeonggi akan menyatukan fungsi siasatan, bantuan perundangan, kaunseling, sokongan pemulihan emosi serta perlindungan aktiviti pengajaran. Langkah itu bertujuan memastikan pihak pendidikan mengambil tanggungjawab penuh bermula daripada laporan insiden sehingga penyelesaian kes dan proses pemulihan guru.
Selain itu, Korea Selatan turut memperkenalkan sistem Pegawai Perlindungan Hak Guru, yang pertama seumpamanya di negara itu. Seramai 50 pegawai khas akan dilantik untuk memberi bantuan secara individu kepada guru terjejas termasuk kaunseling awal, tindak balas di lokasi kejadian, sokongan undang-undang, bantuan psikologi dan pemantauan susulan.
Baca juga:
- Deschamps persoal tahap pengadil, ‘layak ke kendali separuh akhir Piala Dunia?’
- Dari skrin ke realiti? Korea Selatan tubuh pasukan khas lindungi hak guru
- Netanyahu dedah sebab sokong Argentina di Piala Dunia
Seakan Kdrama viral
Menariknya, langkah berkenaan mendapat perhatian kerana mempunyai persamaan dengan jalan cerita drama Korea Teach You a Lesson, yang mengisahkan kewujudan sebuah badan khas bagi melindungi hak guru serta menangani masalah disiplin dan kejatuhan autoriti pendidik. Walaupun inisiatif sebenar Korea Selatan itu bukan disahkan diilhamkan daripada drama tersebut, persamaan konsep berkenaan mencetuskan perbincangan mengenai cabaran guru dalam sistem pendidikan moden.
Ahn berkata masih ramai guru berdepan tekanan akibat aduan berniat jahat dan berharap tiada lagi pendidik mengambil nyawa sendiri akibat beban tersebut. Beliau turut berjanji untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aduan tidak berasas serta mengambil langkah khas membantu guru yang mengalami trauma termasuk pertukaran penempatan.
Inisiatif itu dilaksanakan ketika Pejabat Pendidikan Wilayah Gyeonggi memperingati ulang tahun ketiga kematian seorang guru Sekolah Rendah Seoi. Sepanjang tempoh 13 hingga 19 Julai, ruang peringatan disediakan untuk mengenang guru yang meninggal dunia, manakala pejabat pendidikan turut menangguhkan acara berbentuk promosi institusi sebagai tanda penghormatan.









