Anwar beri amaran, rakyat Israel dikesan di Malaysia akan diusir jika dakwaan benar | The Reporter

Anwar beri amaran, rakyat Israel dikesan di Malaysia akan diusir jika dakwaan benar

Anwar Ibrahim akan usir rakayt Isarel jika dakwaan benar.
Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

Kerajaan akan mengusir segera mana-mana rakyat Israel yang didapati menetap di Malaysia sekiranya dakwaan berhubung perkara itu disahkan benar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan kerana negara ini tidak mengiktiraf Israel.

Menurut beliau, semua agensi berkaitan sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan berhubung kewujudan rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan dan menetap di komuniti teknologi dikenali sebagai Network School di Forest City, Johor.

“Kita sedang menyiasat dakwaan ini dan tidak akan mengizinkan rakyat Israel menetap di Malaysia kerana kita tidak mengiktiraf Israel.

“Jika siasatan membuktikan dakwaan itu benar, mereka akan diusir segera,” katanya.

Anwar berkata, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka akan memberikan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

Baca juga:

Isu itu tercetus selepas kerajaan Johor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap komuniti Network School susulan dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan pasport kewarganegaraan kedua untuk menetap di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kerajaan negeri telah meminta Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi berkaitan menyemak status kerakyatan individu yang didakwa menetap di komuniti berkenaan.

Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Digital meneliti status operasi Network School, termasuk sama ada ia menjalankan aktiviti pendidikan tanpa kelulusan sebagai institusi pengajian tinggi.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

Related Posts