Deschamps persoal tahap pengadil, 'layak ke kendali separuh akhir Piala Dunia?' | The Reporter

Deschamps persoal tahap pengadil, ‘layak ke kendali separuh akhir Piala Dunia?’

Didier Deschamps bercakap kepada media selepas Perancis tewas kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir Piala Dunia
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps. Gambar: Football Max TV

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mempersoalkan tahap pengadil perlawanan selepas pasukannya tersingkir daripada Piala Dunia 2026 apabila tewas 0-2 kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir.

Deschamps bagaimanapun menegaskan beliau tidak mahu menjadikan keputusan pengadilan sebagai alasan utama kekalahan, sebaliknya mengakui Sepanyol beraksi lebih baik dan mengawal permainan dengan lebih berkesan.

“Saya akan bertanya satu soalan dan saya tidak akan menjawabnya. Adakah pengadil itu mempunyai tahap untuk mengendalikan separuh akhir Piala Dunia?” katanya selepas perlawanan.

Menurut Deschamps, persoalannya bukan hanya berkaitan satu keputusan tertentu, malah terdapat beberapa situasi lain sepanjang perlawanan yang dirasakan memihak kepada lawan.

Kritikan itu dipercayai merujuk kepada beberapa keputusan pengadil dari El Salvador, Iván Barton, termasuk pemberian sepakan penalti kepada Sepanyol selepas insiden melibatkan Lucas Digne dan Lamine Yamal pada babak pertama. Penalti itu disempurnakan Mikel Oyarzabal untuk membuka jaringan sebelum Sepanyol menambah gol kedua menerusi Pedro Porro.

Baca juga:

Walaupun kecewa dengan keputusan tersebut, Deschamps tetap mengakui Perancis gagal menandingi tahap permainan Sepanyol pada malam berkenaan.

Beliau berkata pemainnya kecewa kerana hadir dengan cita-cita besar untuk mara ke final, namun perlu menerima hakikat bahawa mereka kurang berkesan dari segi teknikal berbanding Sepanyol.

Kekalahan itu menyaksikan impian Perancis untuk memburu kejuaraan Piala Dunia ketiga tidak kesampaian, manakala Sepanyol melangkah ke pentas final kejohanan.

Sumber: Reuters, Fox Sport

Related Posts