China kini jadi tumpuan perbualan apabila video AI yang mempersenda rakyat Amerika bekerja di kilang tular di media sosial mereka. Dalam video tersebut, pekerja digambarkan berbadan besar, makan burger sambil menjahit kasut, atau tertidur atas mesin – satu sindiran tajam terhadap idea Amerika mahu ambil alih semula industri pembuatan daripada China.
Menurut laporan Time, Video parodi ini muncul selepas Presiden Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif ke atas semua rakan dagang global pada 2 April lalu, dengan kadar tertinggi disasarkan kepada China – mencecah 245%. Sebagai tindak balas, China menaikkan tarif kepada 125%, tetapi menegaskan mereka tidak akan bermain permainan ‘tit for tat’ dan menganggap langkah Trump itu hanya sekadar “mainan angka.”
Kementerian Kewangan China menyifatkan idea menghidupkan semula sektor pembuatan di Amerika sebagai “satu jenaka.” Hakikatnya, kajian dari CATO Institute menunjukkan walaupun ramai rakyat AS setuju dengan kepentingan industri pembuatan, hanya suku daripada mereka sanggup bekerja dalam sektor itu.
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
- Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
- Pemilik tanah benarkan komuniti Rohingya bina flat di Sungai Tekali
Amerika kini berdepan kesukaran untuk menyaingi China dalam sektor ini. Dengan lebih 100 juta pekerja, kos buruh rendah, dan rantaian bekalan yang cekap, China jauh mendahului. Sebaliknya, industri pembuatan di Amerika bergelut dengan kos tinggi, kekurangan tenaga mahir, serta kebergantungan kepada teknologi automasi.
Apa yang lebih menarik, netizen China turut menyindir bahawa mereka sendiri semakin menjauhi kerja kilang. Jadi, mereka tertanya-tanya, kenapa pula rakyat Amerika mahu kerja sedemikian?
Dalam masa sama, video-video AI yang menyindir Amerika ini dilihat sebagai senjata propaganda yang berkesan untuk China. Bukan sekadar lawak, tetapi mesejnya jelas – China tidak akan tunduk dalam perang perdagangan ini.
Malah, video-video itu kini tular hingga ke TikTok dan X, dengan jutaan tontonan. Walaupun tidak diketahui siapa penciptanya, pakar percaya ia memberi kelebihan besar kepada China dalam membentuk persepsi global.








