Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menghantar 2.1 juta surat peringatan kepada peminjam yang mempunyai tunggakan, sekali gus membawa kepada peningkatan dalam bayaran balik pinjaman.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan ini adalah antara pendekatan proaktif bagi memastikan peminjam melunaskan hutang mereka tanpa perlu menggunakan langkah sekatan perjalanan buat masa ini.
“Kita lihat ada peningkatan dari segi pembayaran selepas surat peringatan dihantar. Ini adalah antara kaedah yang kita gunakan untuk memastikan peminjam bertanggungjawab terhadap pinjaman mereka,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Sementara itu, beliau menegaskan kementerian masih belum memuktamadkan keputusan untuk melaksanakan sekatan perjalanan terhadap peminjam PTPTN yang gagal membayar hutang kerana terdapat pelbagai pendekatan lain yang sedang dipertimbangkan.
“Kita belum mengumumkan sebarang ketetapan mengenai sekatan perjalanan. Ada pelbagai langkah lain yang boleh diambil bagi meningkatkan kadar bayaran balik, termasuk kutipan melalui ejen tertentu,” tambahnya.








