Jangan pecah belahkan rakyat dengan label 'Type M, C, I' – Senator | The Reporter

Jangan pecah belahkan rakyat dengan label ‘Type M, C, I’ – Senator

Senator Abdul Halim Suleiman menyeru rakyat Malaysia menolak label perkauman demi perpaduan negara.
Senator Datuk Abdul Halim Suleiman

Di sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, perpaduan adalah tunjang kestabilan dan kemajuan. Namun, penggunaan label seperti ‘type M, C atau I’ yang mengasingkan masyarakat mengikut kaum dianggap tidak membawa sebarang manfaat, malah boleh menjejaskan keharmonian yang telah lama terbina.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman menegaskan bahawa rakyat Malaysia sepatutnya menolak sebarang bentuk pengkelasan yang boleh merenggangkan hubungan antara kaum.

“Kita semua rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk. Menggunakan label seperti ini seolah-olah memperlekehkan sesama sendiri. Ia tidak memberikan apa-apa faedah kepada negara,” katanya memetik laporan Harian Metro, 16 Mac 2025.

Menurutnya, kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat, dan penting untuk memastikan hubungan harmoni terus diperkukuh. Beliau turut menekankan bahawa sebarang isu berunsur perkauman perlu ditangani dengan segera oleh Kementerian Perpaduan bagi mengelakkan ketegangan yang tidak diingini.

Dalam usaha menangani sentimen perkauman yang semakin membimbangkan, Abdul Halim mencadangkan agar satu undang-undang baharu diperkenalkan bagi mengawal penyebaran retorik yang boleh menggugat perpaduan negara.

“Kita tidak mahu sejarah hitam seperti rusuhan 13 Mei 1969 berulang akibat isu-isu yang tidak dikawal. Semua pihak harus lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama,” katanya.

Tambahnya, mempertahankan kepelbagaian bukan sahaja penting dari segi sosial, malah memberi impak kepada kestabilan ekonomi dan pembangunan negara.

“Kita perlu melihat ke hadapan dan memikirkan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia, khususnya generasi akan datang,” katanya.

Related Posts