Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun melalui detik mencemaskan apabila dipatuk seekor ular sawa ketika hendak membuang air kecil di rumahnya di Apartment Prima Court, Saujana Melawati, semalam.
Ibunya, Adibah Aziz, 37, berkata kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi ketika anaknya, Hadi Mohamed Syafiq, masuk ke tandas di bilik tidur utama. Tidak lama kemudian, dia terdengar jeritan kuat sebelum Hadi berlari keluar dalam keadaan berlumuran darah.
“Saya sedang memasak di dapur ketika Hadi tiba-tiba menjerit. Dia keluar dengan tangan dan kaki berdarah, lalu beritahu dia dipatuk ular,” katanya.
Cemas melihat keadaan anaknya, Adibah segera meminta bantuan jiran sebelum menghubungi ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Hadi kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Adibah, anaknya mengalami luka pada celah kelengkang dan tangan akibat gigitan reptilia tersebut, namun doktor mengesahkan keadaannya stabil.
“Saya bersyukur keadaannya tidak serius. Kawasan perumahan kami memang sering dikunjungi haiwan liar kerana berdekatan dengan Zoo Negara dan dikelilingi kawasan hutan,” tambahnya.
Sementara itu, APM Daerah Gombak memaklumkan bahawa pasukan mereka tiba di lokasi pada jam 12.45 tengah hari dan berjaya menangkap ular berkenaan sebelum membawanya ke pejabat untuk tindakan lanjut.
Walaupun insiden itu mencetuskan ketakutan, Hadi yang masih dirawat di hospital tetap tenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda trauma.
“Tak sakit pun, rasa macam kena gigit semut saja,” katanya bersahaja.
Sumber: Harian Metro








