Admin group video lucah didenda RM5,000, rayu diringankan hukuman | The Reporter

Admin group video lucah didenda RM5,000, rayu diringankan hukuman

Admin kumpulan video lucah kanak-kanak
Foto bulatan kecil, tertuduh | Sumber: Harian Metro, Freepik

Seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku bersalah mengakses bahan pornografi kanak-kanak menerusi media sosial.

Mohamad Reizal Dagang, 40, yang bekerja sebagai pembantu kedai makanan, merayu agar hukuman diringankan kerana hanya bergantung kepada abangnya.

“Saya tak ada sesiapa lagi, hanya ada abang. Saya harap hukuman diringankan,” katanya.

Hakim Sayani Mohd Nor turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya denda itu gagal dijelaskan.

Tertuduh pada jam 9 malam, 23 Disember 2024 didakwa mengakses bahan pornografi kanak-kanak di rumahnya di Tangkak.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya.

Siasatan mendapati tertuduh merupakan pentadbir (admin) sebuah kumpulan Facebook yang memuat naik gambar dan video lucah kanak-kanak, termasuk pelajar berpakaian seragam sekolah. Sebagai admin, tertuduh memberi kebenaran kepada individu yang ingin menyertai kumpulan itu, membolehkan mereka memuat naik bahan lucah yang hanya boleh diakses oleh ahli terpilih.

Pada 24 Disember lalu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tangkak dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyerbu kediaman tertuduh dalam Ops Pedo. Pemeriksaan mendapati tertuduh telah mengakses bahan lucah kanak-kanak, termasuk rekod pencarian terdahulu.

Tertuduh mengaku pernah menerima amaran daripada Facebook, yang menyebabkan akaunnya digantung selama tiga bulan.

Kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Harian Metro

Related Posts