Nissan berdepan risiko muflis, hanya mampu bertahan 14 bulan lagi | The Reporter

Nissan berdepan risiko muflis, hanya mampu bertahan 14 bulan lagi

Risiko muflis Nissan
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Syarikat automotif dari Jepun, Nissan Motor Co., sedang berdepan dengan masalah kewangan besar dan memerlukan pelabur baharu segera. Pegawai kanan Nissan memberi amaran, syarikat hanya mempunyai 12 hingga 14 bulan untuk menyelamatkan diri, lapor Financial Times.

Keadaan ini menjadi semakin buruk selepas rakan kongsinya, Renault, mengurangkan pegangan sahamnya dalam syarikat itu. Renault kini memberi tumpuan kepada pembangunan kenderaan elektriknya sendiri, menyebabkan Nissan perlu mencari pelabur lain untuk menggantikan kedudukan Renault.

Menurut sumber, Nissan sedang mencari pelabur yang kukuh seperti bank atau syarikat insurans untuk menyokong kewangannya. Dalam masa yang sama, Nissan juga sedang memuktamadkan kerjasama dengan Honda dalam pembangunan kenderaan elektrik baharu.

“Kami hanya ada 12 hingga 14 bulan untuk terus bertahan. Ini bukan tugas mudah, dan kami perlu memastikan Jepun serta Amerika Syarikat dapat menjana keuntungan,” kata pegawai kanan Nissan kepada Financial Times.

Bulan ini, Nissan telah memberhentikan lebih 9,000 pekerjanya dan mengurangkan pengeluaran sebanyak 20% sebagai langkah berjimat.

Sementara itu, jurucakap Nissan di India menjelaskan, “Kami tidak memberikan komen terhadap laporan spekulasi. Nissan tetap komited dengan operasi, rakan kongsi, dan pelanggan kami. Pelan yang diumumkan tahun ini berjalan seperti dirancang.”

Kerjasama antara Renault dan Nissan bermula pada 1999 untuk menyelamatkan Nissan yang ketika itu menghadapi masalah kewangan. Perikatan ini membolehkan kedua-dua syarikat berkongsi teknologi dan mengurangkan kos. Namun, sejak beberapa tahun lalu, hubungan ini menjadi tegang selepas Renault mula mengurangkan pegangannya dalam Nissan.

Sumber: Financial Times

Related Posts