Nama UPM kekal, Mohamad Sabu hormati titah Sultan Selangor | The Reporter

Nama UPM kekal, Mohamad Sabu hormati titah Sultan Selangor

Nama Universiti Putra Malaysia kekal

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan kesediaan untuk akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, agar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) dikekalkan.

Beliau mengesahkan keputusan tersebut selepas baginda, selaku Canselor UPM, menitahkan supaya nama universiti itu tidak diubah semasa Istiadat Konvokesyen UPM ke-48. Mohamad berkata, isu cadangan penukaran nama universiti itu tidak perlu lagi diperpanjangkan.

“Saya mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat oleh baginda Sultan Selangor adalah muktamad. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini lagi. Saya akur dan itu adalah keputusan yang baik,” katanya memetik dari laporan Harian Metro, 1 Disember 2024.

Menurutnya, fokus kini adalah untuk memperkukuhkan lagi peranan UPM dalam bidang pendidikan dan keterjaminan makanan. Beliau turut menyatakan komitmen untuk menyokong universiti itu dengan penambahan peruntukan jika keadaan kewangan negara mengizinkan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa cadangan pertukaran nama UPM kepada Universiti Pertanian Malaysia tidak dirujuk terlebih dahulu kepada baginda atau Lembaga Pentadbir UPM. Baginda juga menegaskan nama “Putra” membawa makna besar, iaitu “Pertanian Untuk Rakyat,” dan perlu terus dikekalkan.

Sebelum ini, Mohamad mencadangkan perubahan nama UPM bagi menggambarkan keutamaan negara terhadap keterjaminan makanan dan sektor pertanian.

Related Posts