Lelaki alami masalah mental, kerat mayat isteri & buang di jalan raya | The Reporter

Lelaki alami masalah mental, kerat mayat isteri & buang di jalan raya

THAILAND – Seorang lelaki yang mengalami gangguan mental telah membunuh isterinya, sebelum memotong mayat mangsa dan dibuang merata-rata di jalan raya dalam kejadian di daerah Doi Luang, di wilayah utara Chiang Rai, pada awal pagi 26 Ogos lalu.

Lapor Thaiger, orang awam yang menemui sisa-sisa mayat mangsa kemudian memaklumkan penemuan itu kepada pihak polis.

Bertindak di atas maklumat, polis datang ke lokasi dan menemui kepala, kaki dan badan mangsa yang dikenali sebagai Jinda, berusia 59 tahun.

Polis kemudian pergi ke rumah mangsa dan mendapati suaminya, Sommai, berada dalam keadaan marah di luar rumah sambil memegang sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk memotong mayat isterinya.

Suspek terus ditahan dan dibawa ke balai untuk membantu siasatan. Malangnya, suspek tidak memberi kerjasama dan membantutkan usaha polis untuk menyiasat motif kejadian.

Pemeriksaan di rumah pasangan itu turut menemui kaki kanan mangsa di dalam peti sejuk. Mangsa dipercayai telah dibunuh di dalam kediamannya sebelum bahagian-bahagian badannya yang lain dibuang di jalan raya.

Difahamkan, Sommai mengalami gangguan mental akibat penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol. Suspek pernah menerima rawatan sebelum ini, tetapi baru-baru ini telah berhenti berbuat demikian.

Sebahagian tubuh mangsa masih belum ditemui dan suspek tidak dapat disoal siasat berikutan keadaannya yang tidak waras.

Related Posts