Pendidikan merupakan perkara terpenting bukan sahaja untuk penambahan ilmu pengetahuan dalam kehidupan, malahan membentuk sahsiah pelajar. Ibu bapa pula memainkan peranan penting dalam memilih pendidikan yang terbaik buat anak-anak.
Bagaimanapun, menerusi satu laporan, dikatakan berlaku trend peningkatan ibu bapa dalam kalangan bukan cina yang menghantar anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC).
Menerusi data yang dikeluarkan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) serta Kementerian Pendidikan (KPM), jumlah murid bukan Cina di SJKC pada 1989 seramai 17,309 bersamaan 3.05 peratus sebelum meningkat kepada 52,043 pada 1998 iaitu 8.66 peratus.
Jumlah tersebut melonjak kepada 72,443 pada 2010 (11.84 peratus) dan 101,011 (19.75 peratus) pada 2020.
Sistem pembelajaran dan disiplin murid
Beberapa faktor yang menyumbang kepada pemilihan sekolah ini antaranya SJKC dilihat mempunyai sistem pembelajaran dan disiplin murid yang baik dengan tenaga pengajar berkualiti.
Ibu bapa juga yakin anak mereka akan memperoleh banyak peluang sekiranya dapat menguasai bahasa Cina selain faktor kediaman yang berhampiran sekolah.
Ketika ini murid bukan Cina yang merangkumi Melayu, India, Orang Asli dan warga asing membentuk kira-kira 20 peratus daripada jumlah pendaftaran di SJKC seluruh negara.
Namun, bagi murid-murid bukan Cina ini memasuki SJKC adalah sama dengan situasi memasuki persekitaran bukan kebiasaan.
Mereka perlu bermula daripada awal untuk belajar dan menyesuaikan diri sama ada dari segi bahasa atau budaya baharu kerana bahasa Cina bukan bahasa pertuturan mereka.
Menyelesaikan masalah dan halangan
Walaupun terdapat halangan dalam pembelajaran bahasa dan masalah komunikasi dengan rakan sekelas, guru di beberapa sekolah di SJKC menyatakan ibu bapa tidak mengalah sebaliknya bersama-sama dengan guru menyelesaikan masalah tersebut.
Sementara itu, Guru Besar SJK (C) Kampung Baru Paroi di Seremban, Negeri Sembilan, Yee Chon Moi mengakui murid bukan Cina seronok belajar di SJKC.
Beliau memperkenalkan program ‘Saya Belajar Mandarin’ untuk murid bukan Cina bagi Tahun Satu hingga Tiga dengan bantuan rakannya yang mengetuai tadika dan sedang membuat penyelidikan berkenaan pembelajaran bahasa itu oleh murid bukan Cina.
Tambahnya lagi, program tersebut dilaksanakan dengan mengatur bahan pengajaran dan dialog membolehkan murid menjalani latihan selama tiga bulan secara percuma sebelum mengambil peperiksaan.
Sumber: Sinar Harian








