'Saya tampar sebab dia tak bayar hutang RM300' - Tertuduh | The Reporter

‘Saya tampar sebab dia tak bayar hutang RM300’ – Tertuduh

Foto: Harian Metro (Alias Abd Rani), Utusan Malaysia

Seorang wanita berusia 20 tahun telah didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan mencederakan seorang wanita lain.

Kejadian itu berlaku di sebuah pusat snuker pada 4 Mei, jam 5.30 pagi. Tertuduh, Nur Arina Aqilah Kelana, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Menurut Nur Arina, dia bertindak demikian kerana mangsa tidak membayar hutangnya berjumlah RM300.

Berang dengan hal itu, Nur Arina bertindak menarik rambut dan menampar pipi mangsa, serta telefon bimbitnya turut dirampas.

“Saya buat sebab dia tak bayar hutang RM300,” katanya.

Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala Nur Arina diwakili oleh Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Nur Arina didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara selama setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada Nur Arina dan mengarahkan dia dipenjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Sumber: Harian Metro

Related Posts