Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bulan Ramadan dan Syawal antara bulan yang ditunggu dan dirindui. Ada kenangan suka dan duka yang tercatat dalam memori.
Bermacam-macam perkara yang dapat dibuat bersama keluarga dari mula berpuasa sehinggalah menjelang Syawal. Namun begitu, kenangan tersebut hanya dalam ingatan sahaja bila ada antara ahli keluarga kita telah meninggalkan kita.
Sebuah perkongsian dari wanita ini meruntun hati. 2009 merupakan Syawal dan Ramadan terakhir dia berbuka bersama-sama dengan adik beradiknya seramai tujuh orang. Tiga adik beradik lelaki dan kakaknya telah meninggal dunia.
“Ini sahaja gambar Raya yang ada kami 7 beradik bersama emak dan ayah. 2009 Ramadan terakhir berbuka bersama-sama dan gambar raya kenangan bersama adik beradik.

“Ketabahan emak dan ayah saat menguruskan jenazah anak-anaknya. Arwah Along, Akak, Angah dan Alang. Hilang dipandangan namun ada dalam kenangan,” tulisnya.
Kongsi wanita ini lagi, sangat menyedihkan apabila arwah kakaknya sudah lama tidak pulang ke kampung kerana merajuk dengan ibu bapanya. Namun, akhirnya pulang dengan sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa.
“Paling sedih,arwah kakak merajuk lama dengan emak ayah tidak pulang ke kampung. Namun takdir Allah akhirnya beliau meninggal dalam eksiden dan jenazahnya dibawa pulang ke kampung diuruskan oleh ayahnya sendiri.
“Akhirnya kakak pulang juga. Emak ampunkan kakak. Emak halalkan dan ikhlaskan semuanya. Sayu suara emak dihadapan jenazah.
“Terubat kerinduan seorang ibu walau hanya sekujur tubuh dihadapannya,” katanya.
Dalam pada itu, wanita ini turut berpesan kepada masyarakat di luar sana agar berbuat baik dengan ibu bapa.
“Sehebat apapun kita, tidak dapat menandingi hebatnya kuasa Allah. Usah merajuk lama dengan orang tua kerana kita rasa mereka mati dulu. Namun Allah berkehendak merekalah yang akan mengurus mati kita. Salam menyambut Ramadan 1445H,” tulisnya.
Sumber: bunga.coffee








