Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengutuk keganasan berterusan di Jalur Gaza pada Selasa lalu, yang dilakukan oleh Israel sejak konflik dengan Hamas bermula lebih sebulan yang lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membidas kenyataan Trudeau dengan mengatakan bahawa, Hamas yang sepatutnya bertanggungjawab.
Walaupun Kanada mengakui hak Israel untuk mempertahankan diri, Trudeau menyatakan kebimbangan terhadap jumlah kematian orang awam yang semakin meningkat di Gaza. Malah meminta Israel untuk menghentikan pembunuhan wanita, kanak-kanak dan bayi.
“Dunia sedang menonton (perbuatan Israel), di TV, di media sosial – kita mendengar pendedahan doktor, ahli keluarga, mangsa yang terselamat, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa mereka. Dunia menyaksikan pembunuhan wanita, kanak-kanak, bayi. Ini harus berhenti.” katanya.
Membalas kenyataan itu, Netanyahu berkata, “Bukan Israel yang sengaja menyasarkan orang awam, tetapi Hamas yang memenggal, membakar dan membantai orang awam dalam kekejaman terburuk yang dilakukan ke atas orang Yahudi sejak Holocaust.”

“Sedangkan Israel melakukan segala-galanya untuk menjauhkan orang awam dari bahaya, Hamas melakukan segala-galanya untuk mengekalkan mereka dalam bahaya. Israel menyediakan laluan selamat untuk orang awam di Gaza ke zon selamat, tetapi Hamas menghalang mereka daripada keluar dengan senjata api.
“Hamas yang harus bertanggungjawab, bukannya Israel, kerana Hamas melakukan jenayah perang berganda. Menyasar orang awam sambil bersembunyi di belakang mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, Trudeau juga menyeru Hamas untuk berhenti menggunakan rakyat Palestin sebagai perisai manusia dan membebaskan semua tawanan perang Israel.
Sumber: The Times of India








