Warga emas bergelar ‘Datuk’ mengaku tidak bersalah memandu Lamborghini secara berbahaya, berdepan hukuman penjara 5 tahun, denda RM15,000Seorang lelaki warga emas bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan memandu kereta Lamborghini Huracan Coupe secara berbahaya.
Tertuduh, Lim Thean Seng, 65, bagaimanapun memilih untuk mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
Pada hari kejadian iaitu jam 10 pagi 29 Julai, tertuduh memandu kereta KV 2369 secara berbahaya kepada orang awam di Kilometer (KM 54.5 hingga KM 55.5 Jalan Lebuhraya Senai Desaru.
Tertuduh juga didakwa dengan pertuduhan pilihan iaitu memandu secara gopoh yang boleh menyebabkan bencana kepada pengguna lain di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.
Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid, menawarkan ikat jamin RM10,000.
Peguam mewakili tertuduh, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan membantah kerana yakin anak guamnya tidak akan melarikan diri dan menjalani pemeriksaan atas pelbagai komplikasi penyakit yang dihadapinya setiap bulan di sebuah hospital di ibu kota.
Tertuduh juga dikatakan menghidap penyakit kencing manis, dan pernah menjalani pembedahan jantung. Selain itu, tertuduh pernah mengalami strok.
“Dia juga seorang ahli perniagaan yang menyelia sendiri perniagaannya, jadi dia perlu selalu berada di premis perniagaannya,” katanya.
Mahkamah kemudian bersetuju membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 5 September depan.
Sumber: Harian Metro








