Fenomena 'Mawi World', 'Tsumawi' sukar dilupakan, netizen kata budak-budak sekarang tak tahu aura Mawi cukup kuat ketika itu | The Reporter

Fenomena ‘Mawi World’, ‘Tsumawi’ sukar dilupakan, netizen kata budak-budak sekarang tak tahu aura Mawi cukup kuat ketika itu

Sumber gambar: The Star

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Akademi Fantasia (AF) merupakan satu pertandingan realiti televisyen yang mendapat sambutan hangat penonton. Jika dulu ayat-ayat ‘AFUNDI’ seringkali kedengaran sehingga dikatakan mana-mana keluarga akan mengundi peserta kegemaran mereka melalui talian SMS.

Format rancangan asal ini merupakan olahan daripada rancangan “La Academia” di Mexico.

Setelah bermusim-musim rancangan ini disiarkan, Akademi Fantasi musim ketiga dikatakan paling mendapat sambutan daripada penonton. Ini kerana musim tersebut membawa nama pemuda yang berasal dari Johor menjadi fenomena.

Asmawi Ani yang terkenal dengan ungkapan ‘Mawi World’ menjadi fenomena ketika itu sehingga ada peminat yang melabelkan musim tersebut sebagai ‘Tsumawi’.Tidak kurang juga, ada yang mengatakan sanggup melanggan Astro semata-mata mahu menonton persembahan Mawi.

Mawi dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2005. Pada mulanya, beliau telah tersingkir daripada konsert prelude, tetapi diserap kembali di akhir konsert minggu pertama berdasarkan pemilihan juri terhadap 8 pelajar yang tersingkir itu.

Fenomena Mawi juga telah menyebabkan dirinya digelar ‘Raja SMS’ kerana sering mendapat anugerah melalui undian SMS.

Beberapa perkongsian dari netizen menyatakan, kebanyakan remaja atau orang-orang muda zaman sekarang tidak mengetahui betapa terkenalnya Mawi ketika itu dan sehingga ada yang menggelarkannya sebagai lelaki melayu terakhir.

“Mawi World. Sekolah aku dekat Johor semua duk botakkan kepala sebab trend Mawi World. Start dengan budak asrama dulu, lepas tu Mamee Slurp,” tulis Jie Azz.

“Arwah abah minat dia, kami siap ada DVD koleksi persembahan Mawi. Bagi saya, salah satu sebab orang suka dia masa tu sebab dia cerminan masyarakat kebanyakan,” kata Anem.

“Mawi punya penangan bukan kaleng-kaleng masa tu. Mawi ni macam pelaris perniagaan zaman tu. Kau niagalah apa pun letak nama Mawi memang laku,” kata Roberto F.

Rentetan daripada fenomena Mawi ini juga, satu syarikat tempatan telah melaburkan jutaan ringgit untuk mengeluarkan telefon bimbit M.Mobile dan Mawi menjadi duta kepada jenama telefon bimbit tersebut.

Sumber: Afiq Shari

Related Posts