Kejohanan Pickleball Social Serve Kidsnergy yang dibawakan oleh Kidsnergy, dikuasakan oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dengan kerjasama iMedia Asia telah melabuhkan tirainya secara rasmi pada 18 Oktober 2026.
Acara sukan yang berlangsung selama tiga hari di PLAYA Racquet Club @ PARC Subang ini berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat usia, termasuk kanak-kanak seawal 7 tahun, bersama ahli keluarga serta pemain pickleball.
Kejohanan ini bukan sahaja mempamerkan bakat serta semangat kesukanan di gelanggang, malah menjadi platform unik dalam menggalakkan tabiat kewangan sihat dalam kalangan generasi muda menerusi nilai-nilai dan kemahiran hidup yang dipelajari sepanjang pertandingan.
Sukan Sebagai Denai Kesedaran Kewangan
Inisiatif kerjasama ini berteraskan konsep bahawa nilai disiplin, kesabaran, penetapan matlamat dan kemahiran membuat keputusan yang diterapkan dalam permainan pickleball turut memainkan peranan penting dalam pengurusan kewangan harian.
Menerusi inisiatif Great Eastern Juniors oleh GETB, pembelajaran mengenai celik kewangan dijadikan lebih interaktif, relevan dan mudah difahami oleh kanak-kanak tanpa menggunakan istilah kewangan yang rumit.

“Pengajaran yang mudah seperti memahami nilai wang, kepentingan menabung, menetapkan matlamat dan bertanggungjawab ke atas setiap pilihan yang dilakukan dapat membantu membina asas untuk masa depan yang lebih terjamin” kata Jasveen Kaur Marne, Wakil Lantikan Great Eastern Takaful Berhad.
Menerusi gerakan sukan akar umbi Kidsnergy yang diasaskan oleh pemenang pingat Olimpik negara, Goh Liu Ying, kejohanan ini membuktikan bahawa sukan boleh menjadi perantara terbaik dalam menyampaikan pendidikan kewangan yang bermakna buat komuniti dan keluarga di seluruh Malaysia.
Tarikan Khas: Booth Interaktif Celik Kewangan Great Eastern
Antara tarikan utama sepanjang kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu ialah booth khas yang dibawakan oleh Great Eastern Takaful Berhad. Booth ini menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan permainan pendidikan yang membolehkan kanak-kanak mempelajari konsep literasi kewangan asas dalam suasana santai dan menyeronokkan.



Perlawanan Sengit & Semangat Kesukanan Tinggi
Persaingan sepanjang tiga hari penganjuran menyaksikan aksi sengit daripada para peserta yang mempamerkan kemahiran pukulan, kecekapan taktik, serta ketahanan mental yang mengagumkan. Walaupun gelanggang diselubungi suasana perlawanan yang mendebarkan, setiap peserta daripada kategori cilik U8 sehinggalah kategori dewasa tetap menampilkan semangat kesukanan yang tinggi dengan saling menyokong, bersalaman, dan menghormati rakan sepasukan mahupun pihak lawan.


Sorakan semangat daripada ibu bapa dan penonton turut menyemarakkan lagi kehangatan kejohanan, membuktikan bahawa sukan pickleball berupaya menyatukan komuniti dalam suasana yang penuh positif.
Mengaplikasikan Kemenangan Khas Untuk Masa Depan
Pihak penganjur turut menekankan bahawa wang hadiah yang dimenangi oleh para peserta cilik dalam kejohanan ini boleh dijadikan sebagai latihan praktikal pertama mereka dalam menguruskan simpanan, perbelanjaan berhemah, serta penetapan matlamat kewangan peribadi.
Dengan kejayaan penganjuran ini, Kidsnergy dan Great Eastern Takaful Berhad berharap dapat meneruskan momentum positif ini dalam membina generasi muda yang bukan sahaja cergas dari segi fizikal, malah celik dan bijak dalam menguruskan masa depan kewangan mereka.








