‘Penanda kiblat bukan bermaksud Gunung Kinabalu jadi kawasan orang Islam’ - Lelaki Sabah | The Reporter

‘Penanda kiblat bukan bermaksud Gunung Kinabalu jadi kawasan orang Islam’ – Lelaki Sabah

Dewah Bin Robert memberikan pandangan mengenai isu penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu.
Gambar: Facebook Dr. Zulkifli Hasan

Isu pemasangan penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu terus mendapat perhatian. Seorang lelaki, dikenali sebagai Dewah tampil memberikan penjelasan mengenai tujuan sebenar kemudahan tersebut.

Menerusi hantaran di media sosial, Dewah menyeru masyarakat khususnya golongan bukan Islam supaya memahami bahawa penanda arah kiblat itu hanya bertujuan membantu pendaki beragama Islam menentukan arah ketika menunaikan solat.

Menurutnya, kewujudan penanda berkenaan tidak membawa maksud kawasan Gunung Kinabalu akan bertukar menjadi tempat khusus untuk penganut agama Islam.

“Tujuan arah kiblat untuk diletakkan di kawasan Gunung Kinabalu tersebut adalah untuk menentukan ke arah mana sahabat Muslim kita menghadap nanti untuk sujud sembahyang.

“Itu saja ya, ulang sekali lagi, itu sahaja, tiada tujuan lain,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Lokasi kebanggaan rakyat Sabah

Dewah turut menegaskan bahawa Gunung Kinabalu akan terus menjadi lokasi kebanggaan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.

“Dengan adanya arah kiblat itu juga, tidak akan menjadikan kawasan tersebut akan auto menjadi tempat orang Muslim, tidak.

“Ia akan tetap juga kawasan Gunung Kinabalu yang kita bangga-banggakan sebagai orang Sabah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu berfikiran sempit sehingga perkara berkaitan kemudahan beribadah menjadi punca perbalahan.

“Janganlah terlalu sempit dan kebudak-budakan pemikiran kita wahai kawan-kawanku.

“Jagalah, hargailah dan hormatilah perpaduan, keharmonian kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Penanda aras kiblat

Kenyataan tersebut hadir susulan perbincangan mengenai penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu yang mencetuskan pelbagai pandangan dalam kalangan pengguna media sosial.

Isu berkenaan turut dikaitkan dengan penjelasan bahawa kewujudan penanda arah kiblat bukan bermaksud kawasan tersebut menjadi hak eksklusif mana-mana agama, sebaliknya bertujuan memudahkan umat Islam melaksanakan kewajipan mereka.

Terdahulu, penanda arah kiblat yang disemak dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah telah ditempatkan di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi program pendakian yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi agama.

Related Posts