Elon Musk memberi amaran bahawa penduduk Hong Kong berisiko mengalami penyusutan serius sehingga mungkin lenyap sekiranya kadar kelahiran yang rendah di wilayah itu terus berlarutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu menyuarakan kebimbangan berkenaan menerusi satu hantaran di platform X pada Isnin, ketika mengulas mengenai keadaan demografi Hong Kong yang sekian lama mencatatkan antara kadar kelahiran terendah di dunia.
“Hong Kong sudah sekian lama mencatatkan antara kadar kelahiran terendah di dunia. Penduduknya mungkin akan lenyap tidak lama lagi sekiranya keadaan itu tidak berubah,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat sebagai respons kepada hantaran bekas pegawai bank pelaburan, John LeFevre, yang berkongsi pengalamannya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga mempengaruhi tahap kesabarannya ketika berurusan dengan manusia.
LeFevre turut mengimbas pengalamannya bekerja di Hong Kong yang menurutnya dipenuhi individu berpendidikan tinggi, bijak dan mempunyai cita-cita besar, sebelum Musk mengalihkan perbincangan kepada isu kadar kelahiran rendah di wilayah berkenaan.
Kelahiran paras terendah
Menurut laporan media Hong Kong, jumlah kelahiran di wilayah itu mencatatkan paras terendah pada 2025, dengan kira-kira 31,000 bayi dilahirkan sepanjang tahun berkenaan.
Data Jabatan Banci dan Statistik Hong Kong turut menunjukkan kadar kesuburan keseluruhan pada 2025 hanya sekitar 0.73 anak bagi setiap wanita, jauh lebih rendah berbanding paras penggantian penduduk sekitar 2.1 anak bagi setiap wanita.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan populasi warga emas, kekurangan tenaga kerja serta cabaran mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, Profesor Paul Yip dari Universiti Hong Kong berpandangan bahawa dakwaan penduduk wilayah itu bakal lenyap dalam masa terdekat tidak semestinya tepat kerana kemasukan migran, penggunaan automasi dan program menarik bakat luar negara mampu membantu mengekalkan jumlah penduduk.
Malah, jumlah penduduk Hong Kong dianggarkan meningkat kepada kira-kira 7.52 juta orang pada pertengahan 2026, meskipun jumlah kematian masih melebihi kelahiran.
Musk sebelum ini juga beberapa kali menyuarakan kebimbangan terhadap penurunan kadar kelahiran di seluruh dunia, khususnya di negara-negara Asia Timur, sambil menyifatkan penyusutan populasi sebagai antara ancaman besar terhadap masa depan tamadun manusia.








