Parlimen Armenia kecoh, wakil rakyat bertumbuk selepas isu keluarga dibangkitkan | The Reporter

Parlimen Armenia kecoh, wakil rakyat bertumbuk selepas isu keluarga dibangkitkan

Pergaduhan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang ketika persidangan Parlimen Armenia.
Tangkap layar tular pergaduhan antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang ketika persidangan Parlimen Armenia.

Sidang Parlimen Armenia bertukar kecoh apabila beberapa wakil rakyat daripada parti pemerintah dan pembangkang terlibat dalam pergaduhan fizikal susulan pertikaian berhubung kenyataan yang menyentuh keluarga seorang pemimpin pembangkang.

Kejadian pada Khamis itu menyaksikan beberapa ahli Parlimen saling bertumbuk dan menendang sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya seorang wakil rakyat mengalami kecederaan.

Menurut laporan media antarabangsa, ketegangan tercetus selepas Ahli Parlimen parti pemerintah Civil Contract, Taron Chakhoyan, mengeluarkan kenyataan yang menyentuh keluarga pemimpin pembangkang Strong Armenia, Narek Karapetyan.

Kenyataan berkenaan mencetuskan kemarahan wakil pembangkang sebelum pertikaman lidah antara kedua-dua pihak bertukar menjadi pergelutan fizikal di dalam dewan persidangan.

Rakaman kejadian yang tersebar menunjukkan beberapa ahli Parlimen saling menyerang, manakala wakil rakyat lain cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku.

Timbalan Speaker Parlimen, Vahagn Aleksanyan, turut dilaporkan terlibat dalam kekecohan itu apabila didakwa membaling kerusi ke arah wakil pembangkang.

Dalam insiden berkenaan, wakil pembangkang Andranik Gevorgyan dilaporkan mengalami pendarahan hidung, manakala pakaian seorang lagi wakil rakyat, Ruben Mkhitaryan, terkoyak akibat pergelutan tersebut.

Pasukan ambulans dilaporkan dihubungi susulan kejadian itu, namun panggilan berkenaan kemudian dibatalkan dan tiada rawatan kecemasan diberikan di lokasi.

Insiden tersebut sekali lagi memperlihatkan ketegangan politik antara parti pemerintah dan pembangkang di Armenia, susulan beberapa pertelingkahan yang turut berlaku dalam persidangan Parlimen sepanjang bulan ini.

Selepas persidangan disambung semula, Speaker Parlimen, Ruben Rubinyan, menyalahkan Narek Karapetyan kerana didakwa mencetuskan pergaduhan itu dengan mengganggu ucapan Chakhoyan dan cuba menyerangnya.

Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, turut dilaporkan mengecam keganasan yang berlaku, namun mempertahankan tindakan wakil rakyat daripada partinya.

Related Posts